KUALA PERLIS – Polis menjumpai sepucuk pistol dan 13 butir peluru di
satu kawasan hutan bakau di Kampung Pulau Ketam di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata
senjata itu ditemui pada pukul 4.30 pagi semasa sepasukan polis
cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis membuat pemeriksaan
berkaitan kegiatan dadah di kawasan terbabit.
Beliau berkata:”Apabila sampai di satu kawasan titi kayu yang
menghala ke muara sungai di kampung berkenaan, pihak polis menemui satu
guni berwarna putih terletak di bahagian bawah tangga titi kayu itu.
Katanya, setelah diperiksa didapati di dalam guni berkenaan terdapat
sebuah beg kain yang sudah lusuh dan di dalamnya mengandungi sepucuk
pistol, bagaimana pun jenisnya belum dapat dipastikan lagi.
Pemeriksaan lanjut ke atas pistol itu didapati di dalam ruang
pelurunya terdapat enam butir peluru hidup dan dalam satu lagi bekas
peluru berwarna putih terdapat tujuh butir peluru hidup yang juga berada
di dalam beg kain itu.
Abdul Rahman berkata, hasil siasatan yang dijalankan dipercayai
senjata api itu sudah lama berada di tempat ia ditemui dan setakat ini
belum ada sebarang tangkapan dibuat sementara siasatan masih dijalankan.
– BERNAMA