KETUA Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya (dua kanan) menunjukkan sebahagian barangan yang berjaya dirampas. FOTO Sharul Hafiz Zam |
Alor Setar - Polis Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan arak, rokok, beras dan mercun didalangi Kumpulan 36 Melayu, dengan penahanan ketua kumpulan sindiket dikenali Pak Su, kira-kira 9 malam Sabtu lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, suspek berusia 32 tahun ditahan di rumahnya di Changlun, dekat sini, hasil maklumat awam dan risikan polis menerusi Op Black 4 yang dilancarkan sejak 18 September tahun lalu.
"Siasatan awal polis mendapati sindiket itu aktif sejak lapan tahun lalu dan mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan dari sudut cukai membabitkan nilai hampir RM100 juta setahun.
"Suspek juga pernah dilaporkan memberi ancaman dan ugutan selain membakar kenderaan serta memukul pasukan penguatkuasa sempadan ketika menjalankan tugas," katanya pada sidang media di Bilik Media IPK Kedah, di sini, sebentar tadi.
Sementara itu, pihaknya menyelamatkan seramai 57 mangsa penyeludupan migran membabitkan warga Myanmar dan Bangladesh menerusi 42 serbuan dalam Op Pintas Utara dilancarkan sejak 14 Februari lalu.
"Siasatan awal polis mendapati sindiket turut menjalani kegiatan pemalsuan dokumen kad UNCHR warga Myanmar yang mengutip keuntungan hampir RM20,000 setiap bulan," katanya. -myMetro