KOTA BAHARU – Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini
menjelaskan hanya seorang anggota kontinjen negeri itu yang terlibat
dengan penyalahgunaan dadah dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Penolong Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti
(JPJKK) Supt Sheik Azhar Sheik Omar memperbetulkan jumlah berkenaan
berikutan laporan akhbar yang menyatakan 16 anggota polis di Kelantan
terlibat dengan jenayah itu.
“Angka sebenar anggota polis yang ditahan berkait kes dadah bagi
Januari hingga Mac adalah enam orang dan bukannya 16 sepertimana yang
dinyatakan dalam akhbar hari ini.
“Enam anggota itu termasuk satu dari Kontinjen Kelantan, dan lima
dari lain-lain kontinjen,” katanya dalam satu kenyataan di sini. –
BERNAMA