Post Laju Diiktiraf Khidmat Domestik Terbaik 2015 Oleh Frost & Sullivan

KUALA LUMPUR – PosLaju memenangi Anugerah Kecemerlangan Malaysia Frost & Sullivan 2015 bagi Pengendali Perkhidmatan Express Domestik Terbaik untuk tahun ke-tujuh berturut-turut semalam.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim berkata, pihaknya amat berbesar hati memenangi anugerah berprestij itu untuk tahun ketujuh berturut-turut.

“Terima kasih kepada semua warga kerja kami di seluruh negara yang telah berusaha dengan gigih untuk menunaikan tanggungjawab memastikan setiap penghantaran dilakukan dengan sempurna.

“Kami mengucapkan penghargaan kepada orang awam di atas sokongan berterusan ke atas Pos Malaysia. Kami akan terus mempertingkatkan lagi usaha supaya dapat memberikan kecemerlangan dalam perkhidmatan kami kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Anugerah Kecemerlangan Malaysia Frost & Sullivan 2015 memberi pengiktirafan kepada amalan terbaik dan prestasi cemerlang oleh syarikat-syarikat Malaysia dalam pelbagai sektor.

Pemenang diadili melalui sesi temu bual, analisis dan penyelidikan yang menyeluruh yang dijalankan oleh penganalisis Frost & Sullivan.

Bagi mengenal pasti amalan terbaik, syarikat-syarikat akan dikaji berdasarkan pendapatan, bahagian pasaran, keupayaan dan sumbangan keseluruhan kepada industri.

Pos Malaysia sebelum ini memenangi anugerah Brand of the Year 2015 (Anugerah Nasional) dalam kategori Perkhidmatan Pos oleh World Branding Forum (WBF) yang berlangsung di Paris pada Mac lalu.