POTA Diluluskan, Apa Itu POTA 2015?

Penularan elemen keganasan yang semakin merebak dan mengancam keselamatan negara mendorong kerajaan untuk mengemukakan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 atau POTA 2015 bagi menangani aktiviti militan di negara ini.

Berikut ialah intipati rang undang-undang itu yang diluluskan di Dewan Rakyat pada awal pagi Selasa selepas perdebatan hangat lebih 12 jam oleh anggota Dewan Rakyat:

TUJUAN:
* Suatu undang-undang untuk mencegah perlakuan atau sokongan bagi perbuatan keganasan yang melibatkan organisasi pengganas dari sesuatu negara asing serta bagi kawalan terhadap orang yang terlibat dengan perbuatan sedemikian.
* Memastikan tiada individu terlepas daripada sebarang tindakan perundangan sekiranya mereka melibatkan diri dalam kegiatan keganasan.
* Akta memastikan rakyat dan keamanan negara tidak diganggu gugat oleh pihak yang terlibat dalam aktiviti militan.
LATAR BELAKANG:
* Pada 26 Nov 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan kertas putih bertajuk “Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)” di Parlimen sebagai memperakui ancaman keganasan berterusan di dalam dan luar negara.
* Kertas putih itu menegaskan komitmen kerajaan dalam membanteras ancaman yang ditimbulkan IS bersama masyarakat antarabangsa.
* Berdasarkan syor dalam perenggan 59 kertas putih itu, suatu undang-undang baru akan diperbuat untuk menangani secara khusus ancaman IS.
ELEMEN KUASA DALAM POTA:
* Seseorang pegawai polis boleh tanpa waran menangkap mana-mana orang jika dia mempunyai sebab untuk mempercayai terdapat alasan yang menjustifikasikan siasatan diadakan mengenai kes orang itu.
* Apabila seseorang ditangkap, kes hendaklah dirujuk oleh pegawai polis kepada Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan tidak lewat daripada tujuh hari dari tarikh penangkapan.

* Mana-mana orang yang ditangkap hendaklah, melainkan jika dilepaskan terlebih dahulu, dibawa di hadapan seorang Majistret dalam tempoh 24 jam.
* Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya.

PERBEZAAN POTA DAN ISA:
* Kuasa-kuasa eksekutif menteri di dalam ISA akan diambil alih oleh Lembaga Pencegahan Keganasan yang anggotanya dilantik Yang di-Pertuan Agong. 
* Orang yang ditahan boleh menemui waris serta mendapat khidmat peguam pilihan masing-masing.

Sumber: Bernama