PERMATANG PAUH - “Anwar atau isterinya (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) masa jadi
wakil rakyat di sini tak pernah jenguk pakcik. Dia pun jarang turun
padang dan tak tolong rakyat biasa di Permatang Pauh.”
Demikian luahan perasaan Zulkifli Hamid, 79, seorang daripada antara
pengundi tertua pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7
Mei ini.
Zulkifli berkata, sejak pertama kali menjadi wakil rakyat kawasan itu
pada 1982, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menziarahi golongan
warga emas termasuk dirinya sendiri yang menetap di Tanah Liat, di sini.
Dia menyifatkan PKR hanya mahukan undi daripada rakyat tetapi tidak
pernah mempedulikan nasib golongan miskin dan warga emas di kawasan
parlimen Permatang Pauh.
“Pakcik sekali pun tak pernah tak mengundi…pakcik tetap akan mengundi
BN (Barisan Nasional) kerana parti itu yang banyak membantu kami di
sini (Permatang Pauh),” katanya.
Siti Nuraina Mohd Aman, 31, yang mendiami kawasan Dewan Undangan
Negeri (DUN) Permatang Pasir, iaitu satu daripada tiga DUN di Parlimen
berkenaan, pula berpendapat Parlimen Permatang Pauh seharusnya lebih
pesat dan sudah lama membangun jika pengundi memilih wakil rakyat yang
berjiwa rakyat.
Pekerja di sebuah kilang di Perai ini memberi contoh Parlimen Tasek
Gelugor dan Kepala Batas iaitu jiran Permatang Pauh yang semakin
membangun di bawah wakil rakyat daripada BN dan banyak menawarkan
peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
“Maksudnya, wakil rakyat yang memahami masalah setempat dan memberi
tumpuan serta berusaha menyelesaikannya. Tiga DUN di kawasan Permatang
Pauh adalah daripada pakatan pembangkang yang ada peluang terbaik
memajukan parlimen ini kerana kerajaan Pulau Pinang juga di bawah parti
yang sama tetapi lihatlah apa yang ada…Penanti dan Permatang Pasir masih
jauh ketinggalan,” katanya.
Khairul Anas Ismail, 47, berkata sebagai pengundi di kawasan
Permatang Pauh, beliau kecewa dengan wakil rakyat kerana tidak membawa
pembangunan dan pembaharuan kepada penduduk di situ.
“Saya sudah tidak larat hendak berpilihan raya lagi kerana masuk kali
ini sudah dekat lima kali mengundi dan balik balik dia dan keluarganya
sahaja..keadaan di Permatang Pauh masih sama jugak. Kami pengundi di
sini kecewa dengan prestasi wakil rakyat sebelum ini.
“Bagi golongan muda seperti saya, kami mahu wakil rakyat daripada
orang muda pula untuk bela nasib kami terutama berkaitan peluang
pekerjaan di sini,” katanya.
PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Wan Azizah (PKR), Suhaimi Sabudin (BN), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan calon Bebas Salleh Isahak.
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan
menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar, anggota Parlimen
kawasan itu melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar
hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang
Pauh dengan menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721
undi. – Bernama