GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini berkata
pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh kali ini adalah pertandingan
sengit antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyifatkan peluang parti itu
bertanding kali ini adalah 50:50 dan sehubungan itu beliau menasihatkan
parti gabungan, PKR agar tidak terlalu yakin untuk menang.
“Saya akan berikan nasihat kepada rakan-rakan di PKR untuk tidak
terlalu yakin akan menang. Kami anggap ini adalah satu pertandingan
50:50,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Lim berkata Pakatan Rakyat akan melancarkan jentera pilihan raya bagi
pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh itu malam esok.
“Kita lihat nampaknya BN mula awal…saya rasa itu cabaran dan kita
akan berikan sokongan (kepada PKR) untuk hadapi cabaran daripada BN,”
katanya.
Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandang kerusi Parlimen
itu Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen
setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja
yang dipohon keluarganya atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya
Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April ini hari penamaan
calon manakala hari pengundian 7 Mei. Pengundian awal 3 Mei. – BERNAMA