#PRKPermatangPauh: Mat Sabu Dakwa PAS Tidak Akan Sabotaj PKR

ALOR SETAR - Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu mendakwa para penyokong PAS tidak akan berpaling tadah dan melakukan sabotaj terhadap calon PKR yang akan bertanding di Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Kata Mohamad yang juga merupakan Timbalan Presiden PAS itu, tiada sebarang keputusan baru akan diumumkan mengenai perjalanan jentera parti itu yang akan turun membantu PKR yang bertanding di PRK tersebut.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan bahawa pihaknya tetap mengerah jentera dan penyokong parti itu dari Pulau Pinang, Perak, Kedah serta Perlis untuk turun ke Permatang Pauh bagi tujuan berkenaan.

"Keputusan masih  sama seperti yang diputuskan pada mesyuarat 13 April lalu bahawa PAS di negeri terlibat Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis diarah untuk membantu PRK ini.

"Saya sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat menyeru ahli dan penyokong di negeri-negeri terbabit membantu siapa juga calon yang  dipilih PKR," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas mengenai pendirian PAS Permatang Pauh mendesak PKR membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan tidak menyokong enakmen hudud di Kelantan, Mat Sabu menjelaskan bahawa pimpinan tertinggi parti itu akan bincangkan perkara tersebut.

"Kita akan bincang pada  mesyuarat akan datang, saya pun tidak tengok lagi hitam putih maklumat berkenaan.

"Saya dah maklum pada Setiausaha Agung dan beliau  akan panggil mesyuarat Dewan Harian. Kalau perlu kita akan panggil mesyuarat, kalau tak perlu kita akan ikut arahan awal," katanya.

Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan dilapor telah memberi tempoh kepada PKR sebelum hari penamaan calon untuk membuat permohonan maaf dan menarik semula kenyataan tidak menyokong hudud.

Menurut Omar,  jika PKR memenuhi desakan PAS Permatang Pauh itu, barulah pihaknya akan meneruskan kerjasama dan memberi sokongan kepada parti itu dalam kempen PRK Permatang Pauh nanti. -Kedahnews.com