KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad optimis BN
tidak menghadapi masalah untuk terus mempertahan kerusi Parlimen Rompin
pada PRK itu 5 Mei depan.
Beliau berkata, ini kerana BN mempunyai sokongan kuat pengundi kawasan
itu terhadap kepimpinan bekas Ahli Parlimen Rompin Allahyarham Tan Sri
Dr Jamaluddin Jarjis sejak 1990.
"Di Rompin, sokongan BN masih ada...pasti menarik untuk tahu marginnya
kali ini," katanya kepada pemberita pada forum antarabangsa 'Mendampingi
Golongan Muda Untuk Menjenayahkan Perang dan Mentenagakan Keamanan' di
Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
Semalam, BN menamakan pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin, Datuk Hasan
Arifin, 62, yang juga bekas timbalan menteri besar Pahang sebagai
calonnya bagi PRK Rompin.
Mengenai PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini, Dr Mahathir
berkata, BN bakal berdepan laluan sukar untuk merampas kerusi itu kerana
penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan kuat di
kawasan berkenaan.
"...ia pasti sukar, ada penyokong fanatik di situ. Orang yang tidak
hiraukan realiti, tentang kebenaran, mereka sokong secara membabi buta,"
katanya.
Anwar merupakan Anggota Parlimen Permatang Pauh bagi BN dari 1982
hingga 1999 sebelum dijatuhi hukuman penjara pada 14 April 1999.
Kerusi itu kemudian dimenangi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail pada pilihan raya umum ke-10 pada November 1999.
Dr Wan Azizah mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya seterusnya
sebelum meletak jawatan pada 31 Julai 2008 untuk memberi laluan kepada
Anwar untuk bertanding dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos, 2008.
Anwar memenangi semula kerusi itu dengan mengalahkan calon BN, Datuk
Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi pada PRU13.
PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga
Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja terhadap Anwar, yang
dipohon melalui anggota keluarganya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabit
meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. - Bernama