#PRKPermatangPauh: Pemuda PAS Pulau Pinang Buat "U-Turn", Bantu Kempen Parti Tolak Hudud

KEPALA BATAS – Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang pagi tadi telah membuat "pusingan U" apabila menarik balik keputusan mereka memboikot kempen Pakatan Rakyat di Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh gara-gara PKR menolak hudud.

Ketuanya, Mohd Yusni Mat Piah, memaklumkan bahawa pihaknya kini berubah fikiran untuk kembali bekerjasama dengan jentera PKR, sekaligus membatalkan semua arahan "merehatkan" seluruh jentera sayap PAS di Pulau Pinang.

Beliau memberi alasan pihaknya berubah fikiran dari mempertahan prinsip perjuangan PAS itu demi memastikan kemenangan calon PKR di parlimen Permatang Pauh.

“Ini bukan gimik PRK, tapi kami hanya mahu mempertahankan kemenangan pakatan di Parlimen Permatang Pauh.

“Selepas ini, kami juga akan menggerakkan Pemuda PAS negeri untuk membantu jentera PKR, sepanjang tempoh berkempen,” katanya dalam satu sidang akhbar tergempar yang berlangsung di sini, pagi tadi.

Mohd Yusni turut memberitahu bahawa keputusan tersebut diputuskan setelah selesai bermesyuarat dengan wakil Dewan Pemuda PAS Pusat di Markas PAS Alor Pongsu Seribu, semalam.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang itu menegaskan bahawa pihaknya masih tetap mahu Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri itu menarik balik kenyataan berhubung Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan enakmen hudud Kerajaan PAS Negeri Kelantan.

Mohd Yusni sebelum ini menetapkan pendirian memboikot kempen PKR dan mengarahkan semua jentera Pemuda PAS Pulau Pinang supaya "berehat" dari sebarang aktiviti PRK Permatang Pauh ekoran desakan mereka terhadap AMK Pulau Pinang untuk memohon maaf tidak dilayan setelah tamat tempoh pada 25 April lalu.

Pendirian tegas Pemuda PAS Pulau Pinang itu mendapat pujian serta sokongan ramai pihak di dalam PAS di seluruh negara yang menganggap mereka sebagai teguh mempertahan maruah kepimpinan ulama di dalam parti dan jitu dalam memperjuang hukum hudud.

Mengulas mengenai isu tersebut, Pengarah Pilihanraya PKR, Datuk Saifuddin Nasution pula mengeluarkan kenyataan enggan melayan kerenah Pemuda PAS di negeri itu dan memperlekeh kreadibiliti sayap PAS berkenaan dengan menyatakan mereka tidak berurusan dengan "orang bawah".

Dijangka keputusan terkini Pemuda PAS Pulau Pinang itu akan mendapat pelbagai reaksi panas dari ramai pihak khususnya apabila fatwa dari ulama PAS Permatang Pauh sebelum ini yang menegaskan bahawa memberi undi pada parti yang menolak hudud adalah haram.

PKR sehingga kini masih tegar bersama DAP untuk menolak perlaksanaan hudud di Kelantan dan masih tiada sebarang petanda mereka akan berubah fikiran untuk menyokong perlaksanaan hukum Allah itu. -Kedahnews.com