PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan
pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin di Pahang akan diadakan
serentak dengan PRK Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kemungkinan untuk
menjalankan PRK di kedua-dua kawasan secara serentak adalah kerana
tarikh kekosongan bagi kerusi terbabit terlalu dekat.
Perkara itu bagaimanapun akan dimuktamadkan pada mesyuarat khas bagi
menetapkan tarikh dan persiapan PRK Parlimen Rompin pada Jumaat ini,
katanya.
“Permatang Pauh (tarikh kekosongan) 1 April, manakala Rompin mungkin
kita akan isytihar kosong pada 5 April … apapun tunggulah sehingga
Jumaat ini,” katanya dalam sidang media berkaitan PRK Parlimen Permatang
Pauh di sini, hari ini.
Suruhanjaya itu hari ini menetapkan PRK Permatang Pauh diadakan pada 7
Mei ini, penamaan calon pada 25 April, manakala pengundian awal
ditetapkan pada 3 Mei.
SPR akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRK Rompin Jumaat ini
(10April) bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan proses
pilihan raya kecil itu termasuk penamaan calon, pengundian awal,
pengundian biasa dan menentukan daftar pemilih.
PRK Parlimen Rompin perlu diadakan berikutan kematian Anggota
Parlimennya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di
Semenyih, Sabtu lalu.
Selain Jamaluddin, tragedi itu turut mengorbankan lima yang lain
iaitu Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias,
juruterbang helikopter Clifford William Fournier Jr, ahli perniagaan
Datuk Tan Huat Seang, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan
kenalan kepada juruterbang, Aidana Baizieva.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei 2013, Jamaluddin yang juga
Pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengekalkan kerusi kawasan
tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan
bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti
15,114 undi.
Sementara itu PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga
Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja
yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim
melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu
hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan
meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. – BERNAMA