BUKIT MERTAJAM – Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
berkata tidak timbul isu PAS kawasan Permatang Pauh melakukan protes
senyap jika beliau dipilih sebagai calon pilihan raya kecil kawasan itu.
Sebaliknya beliau yang dilihat mula ‘turun padang’ dengan pelbagai
program di kawasan Parlimen itu sejak kerusi Permatang Pauh diisytihar
kosong, berkata PAS kawasan itu telah menyatakan sokongan dan akan
membantu siapa sahaja calon yang dipilih oleh PKR.
“Saya baru sahaja berjumpa dengan Yang Dipertua PAS Permatang Pauh
(Omar Hasan) dan beliau kata tidak (seperti itu), kami bersama anda dan
beliau akan memberi dan bekerjasama untuk memastikan kemenangan calon
PKR,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang akhbar
Ketua Menteri Lim Guan Eng, di sini hari ini.
Wan Azizah yang turut menghadiri sidang akhbar di Majlis Perbandaran
Seberang Perai (MPSP) itu berkata demikian ketika ditanya tentang
laporan akhbar hari ini berhubung perkara tersebut.
Akhbar hari ini memetik Ketua Penerangan PAS kawasan Permatang Pauh
Jamsari Samad sebagai berkata PKR berkemungkinan akan menghadapi protes
secara senyap daripada pengundi, termasuk PAS, jika parti itu berkeras
untuk meletakkan Dr Wan Azizah atau anggota keluarganya sebagai calon
pilihan raya kecil itu.
Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan
keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang
dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui
anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan
sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK
Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian
awal 3 Mei. – BERNAMA