Projek Berimpak Tinggi Mampu Lonjak Perlis - Abdul Wahid

KANGAR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar yakin projek-projek berimpak tinggi yang dirancang kerajaan negeri Perlis memberi kesan kepada pembangunan negeri.

Katanya perbincangan dengan kerajaan Perlis dan penilaian terhadap projek-projek yang dirancang masih berjalan sebelum peruntukan untuk melaksanakannya diluluskan.

“Perkembangan perbincangan ini positif namun kerajaan pusat mengambil kira projek tersebut dilaksanakan dalam konteks bajet yang terhad,” kata Abdul Wahid.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas majlis penutup Program Eksplorasi Kemahiran dan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat Zon Utara oleh Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man di sini semalam.

Abdul Wahid berkata beliau sendiri akan meninjau kawasan pembangunan yang dirancang itu sebelum pulang ke Kuala Lumpur petang semalam.

Sementara itu, Azlan dalam sidang akhbar yang sama berkata kerajaan negeri memerlukan hampir RM1 bilion bagi membangunkan infrastruktur Taman Teknoloji Hijau Lembah Chuping, pembangunan semula pekan Padang Besar, Sungai Kangar dan Kuala Perlis.

Katanya projek itu dirancang dilaksanakan berperingkat-peringkat dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bermakna peruntukan juga perlu disalurkan berperingkat-peringkat.

“Berdasarkan respons yang diterima saya yakin kerajaan pusat akan meluluskan permohonan kita,” kata Azlan dan menambah Kementerian Kesihatan turut memberi akujanji untuk membina hospital daerah Padang Besar yang telah tersedia tapaknya.

Dalam ucaptamanya sebelum itu, Abdul Wahid berkata kerajaan mensasarkan 75 peratus daripada lebih 114,000 graduan yang menamatkan pengajian setiap tahun mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian.

Menurut beliau bagi tahun lepas, seramai 28,000 graduan belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian namun angka pengangguran pada masa ini cuma tiga peratus.

Katanya program SL1M membabitkan penyertaan 137 syarikat bagi membantu para graduan meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian.

Setakat ini SL1M telah membantu lebih 50,000 graduan menjalani program latihan di syarikat-syarikat swasta, katanya.

Program dua hari itu yang bermula semalam disertai 37 syarikat yang menawarkan 3,156 kekosongan jawatan dalam pelbagai bidang dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) dan kerajaan negeri Perlis. – BERNAMA