ALOR SETAR - Projek Zon Industri Petroleum Yan (Zipy) akan digantikan
dengan Yan Energy berikutan wujud kekangan syarikat induk, Merapoh
Resources Corporation Sdn Bhd (Merapoh) untuk melaksanakannya.
Exco Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata,
pelaburan membabitkan AS$10 bilion (RM32.7 bilion) itu akan diambil alih
oleh pihak swasta lain.
“Untuk mempercepatkan pelaksanaan projek ini, kita kemukakan cadangan
baharu dengan wujudkan Yan Energy menggantikan Zipy diterajui Merapoh
yang berdepan masalah kewangan.
"Mereka bukan menarik diri tetapi kita perlu lakukan sesuatu untuk
merealisasikan projek yang dirancang sejak 2007 ini,” katanya ketika
menjawab soalan lisan Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Amiruddin
Hamzah (Pas-Anak Bukit), mengenai status kemajuan projek Zipy.
Menurutnya, perjanjian sedia ada yang dimeterai antara Merapoh dengan
China Energy Huacheng Industrial Investment Co Ltd (China Energy), yang
menyediakan pelaburan awal AS$10 bilion bagi pembangunan kilang penapis
minyak mentah terbesar di Malaysia pada April 2014, akan diambil alih
syarikat baharu yang belum didedahkan identitinya.
“Projek itu kini bawah pihak swasta yang memegang 30 peratus ekuiti yang selebihnya oleh China Energy.
"Yan Energy kini adalah sebuah projek swasta. Kita tidak mampu namun
kerajaan negeri mendapat banyak manfaat dari aspek ekonomi dan
kewangan,” katanya.
Ku Abd Rahman berkata, projek Yan Energy akan dimulakan awal tahun hadapan dan dijangka siap menjelang 2019.
“Saya akui bukan mudah untuk laksanakan projek mega yang memerlukan
belanja besar seperti ini. Ia perlu masa dan perancangan rapi. Apabila
diambilalih syarikat baharu, bermakna kita perlu lakukan semula dari
awal termasuk Laporan Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA),” katanya.
Menurutnya, mengikut perancangan asal, komponen penting projek Zipy
melibatkan, kilang penapisan minyak, pusat simpanan minyak mentah di
Gurun, saluran paip minyak mentah dan produk tertapis serta
fasiliti/infrastruktur.
“Kita boleh mulakan secara berperingkat apabila kerja awal siap,
contohnya operasi untuk pusat simpanan minyak mentah boleh dimulakan
terlebih dahulu, sementara menyiapkan kilang penapisan minyak,” katanya.
Projek ZIPY menyasarkan keuntungan RM400 juta setahun dalam bentuk
cukai dan sepatutnya siap pada 2014, selain menawarkan pekerjaan kepada
lebih 30,000 orang.
Selepas Kedah diambil alih Pas pada 2008, Zipy ditukar kepada projek
Sungai Limau Hidrokarbon Hub (Sulihh), menggunakan kaedah menambak laut
di Sungai Limau, Yan.
Projek penapisan minyak bagi memproses minyak mentah dari Asia Barat
sebelum dieksport semula ke China dan negara Asia Timur itu gagal
diteruskan akibat beberapa kekangan termasuk laporan DEIA dikemukakan
pelabur kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak lengkap.
Projek itu kemudian tersadai apabila satu daripada tiga pelabur asing:
Hong Kong Beijing Star Ltd, Winson Investment Ltd dan SK Engineering and
Construction Ltd dari Korea menarik diri. -Sinar Harian