Prop Filem Hollywood Bernilai RM2.7 Juta Dilelong 29 Mei Ini


Peminat filem blokbuster seperti Men In Black (MIB), Batman Forever dan How The Grinch Stole Christmas berpeluang memiliki sebahagian sejarah filem Hollywood itu apabila koleksi set penggambaran dan boneka menakjubkan dilelong hujung Mei depan.

Koleksi itu yang direka oleh jurusolek kesan khas terkenal Rick Baker bakal dilelong di Hilton Universal City, Los Angeles, California dan dalam laman sesawang PropStore.com, bermula 29 Mei ini.

Koleksi dari studio Cinovation Baker itu dianggarkan bernilai AS$746,100 (RM2.7 juta) dan beberapa barang individu dijangka meraih sehingga lebih AS$40,000 (RM145,395) apabila ditawarkan kepada orang ramai untuk julung kalinya.

Menurut Icon Versus Icon, 417 barang asli itu diperoleh daripada 50 syarikat penerbitan.

Sepanjang 30 tahun kerjaya Baker, artis berusia 64 itu juga terbabit dalam filem lain seperti An American Werewolf in London, Planet of the Apes, Batman & Robin, Hellboy dan Mighty Joe Young.

Barang yang diperoleh daripada filem berkenaan, termasuk filem Michael Jackson yang diterbitkan pada 1998, Moonwalker dan video muzik Thriller, akan dijual pada pembida paling tinggi.

Brandon Alinger dari Prop Store berkata: “Kami berbesar hati untuk menawarkan lelong secara langsung 400 barang terus dari studio Cinovation Rick Baker kepada orang ramai.

“Kerjaya Baker tidak perlu diperkenalkan dan ia satu penghormatan untuk bekerja dengannya bagi menyediakan jualan yang menjangkau lebih 30 tahun kerjayanya.

“Lelongan Rick Baker memberi satu peluang yang mengujakan buat pengumpul dan peminat jurusolek memiliki beberapa rekaan menakjubkan daripada filem kegemaran mereka.”

Sumber: myMetro