Proton Yakin Jual 130,000 Unit Kenderaan Tahun Ini

JOHOR BAHRU – Proton Holdings Berhad (Proton) yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan keretanya antara 12 hingga 15 peratus tahun ini, hasil daripada populariti model baharu, Iriz.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, setakat ini model yang dilancar September tahun lepas mencatat jualan 11,000 unit di seluruh negara.

“Sebanyak 30 peratus daripada jualan itu datang dari Wilayah Selatan manakala bakinya Lembah Klang dan lain-lain kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di penutupan Karnival Alami Proton sempena Pertandingan Worldskills Malaysia Belia 2015 di perkarangan letak kereta Plaza Angsana, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Romli Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Norzahid Mohd Zahudi.

Abdul Harith berkata, populariti Iriz dijangka meningkat menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Faktor utama Iriz menarik perhatian pembeli ialah ia mempunyai teknologi yang didapati pada kereta kontinental buatan Eropah.

“Tetapi harga dibayar cuma sesetengah daripada apa yang dibayar untuk kereta kontinental tersebut,” katanya.

Proton menyasarkan jualan 130,000 unit bagi semua model di seluruh negara tahun ini berbanding 115,00 unit pada tahun lepas.

Mengenai pelan jangka pendek, Abdul Harith berkata, tumpuan tidak akan terarah untuk memperkenal model baharu, sebaliknya memastikan Iriz terus berjaya mendapat jualan optimum.

“Kami mungkin mengambil lima hingga tujuh tahun untuk memperkenal model kereta baharu,” katanya. – BERNAMA