Rafizi Dakwa Aktivis Dipenjara Dihormati Rakyat?

ALOR SETAR - Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang baru dilepaskan dari tahanan polis mendakwa rakyat Malaysia akhir-akhir ini memandang tinggi golongan aktivis yang ditahan dan dipenjara pihak berkuasa.

Rafizi berkata, dia merasa lucu apabila perubahan budaya pemikiran terbaru rakyat Malaysia itu tidak difahami oleh para pemimpin kerajaan.

"Saya sebenarnya berasa lucu kerana pimpinan UMNO masih belum faham perubahan di dalam masyarakat kita.

"Mutakhir ini rakyat lebih menghormati aktivis-aktivis yang dipenjarakan bila berjuang menentang Barisan Nasional (BN) dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Rafizi dalam kenyataannya turut mendakwa bahawa beliau ditahan selama tiga hari oleh pihak berkuasa baru-baru ini bukan disebabkan pekeliling supaya menyertai perhimpunan di ibu negara tetapi bagi menyekatnya menyertai perhimpunan ‪#‎Kitalawan‬ pada 28 Mac lalu.


Himpunan yang didalangi Rafizi itu dilaporkan adalah bertujuan untuk mendesak pihak kerajaan untuk melepaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dihukum atas jenayah yang beliau lakukan terhadap bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Para penganalisis berpandangan bahawa sekiranya Anwar dilepaskan atas desakan itu, pihak kerajaan juga sekaligus akan dilihat sebagai mencabuli hukuman sistem perundangan Malaysia dan mencampuri urusan institusi kehakiman.

Selain itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menegaskan bahawa penahanan Rafizi itu adalah disebabkan sepucuk surat dari pemimpin PKR itu kepada seluruh penyokong parti untuk berhimpun melepaskan Anwar.

Katanya, surat berkenaan perlu disiasat ekoran kandungannya yang mampu mencetus salah faham dan memungkinkan tindakan merbahaya, termasuk memecah masuk penjara bagi melepaskan Anwar dari menjalani hukuman.

Ramai yang berpandangan bahawa himpunan haram itu dianjurkan Rafizi itu bukan demi kepentingan rakyat, melainkan hanya demi kepentingan politik PKR dan kehendak peribadi ahli politik tertentu. -Kedahnews.com