Rahsia 22 Wanita, 163 Kanak-Kanak Palestin Ditahan Israel Laknatullah Dibongkar

KUALA LUMPUR – Pertubuhan kemanusiaan Rose2Rose (R2R) mendakwa seramai 22 wanita dan 163 kanak-kanak Palestin masih berada dalam tahanan tentera Israel. 

Pengerusi R2R, Dr. Fauziah Mohd. Hassan berkata, wanita dan kanak-kanak terbabit ditahan secara tidak sah dan dilarang menemui ahli keluarga.

Menurutnya, mereka cuma sebahagian daripada 78 wanita dan remaja perempuan yang pernah ditangkap oleh tentera Israel bagi suku pertama tahun ini.

“Sebahagian besar daripada mereka ditangkap dalam perkarangan masjid Al-Aqsa, sebahagian ditangkap semasa pemeriksaan di pos tentera manakala sebahagian ditangkap di rumah pada waktu malam.


“Rumah mereka digeledah. Wanita yang membela diri diancam keselamatan keluarga mereka, dipukul dalam keadaan bergari sebelum dibawa ke pusat tahanan. Mereka disoal siasat dan ditekan supaya mengaku salah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Fauziah berkata, wanita Palestin yang tidak dipenjarakan pula akan dikenakan denda yang tinggi dan diharamkan masuk masjid Al-Aqsa selama tiga tahun.

Justeru, beliau meminta kerajaan Malaysia mengemukakan isu tersebut kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya mendesak Israel mematuhi ketetapan antarabangsa mengenai layanan ke atas wanita dan kanak-kanak.

Katanya, semua pihak perlu mendesak Israel segera membebaskan kesemua wanita dan kanak-kanak Palestin yang ditahan secara haram tersebut.