ALOR SETAR - Setelah mengejutkan seluruh dunia dengan aksi aneh membawa ‘teropong
ajaib’ dan ‘tikar terbang’ bagi mengesan pesawat MH370 sebelum ini, akhirnya Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin bakal diisytiharkan sesat.
Difahamkan bahawa tindakan tersebut bakal diambil terhadap Ibrahim menerusi satu mesyuarat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.
Menurut Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, keputusan itu dicapai
setelah melihat tindak-tanduk dan ajaran Ibrahim yang didapati terpesong
dari konsep Islam sebenar.
“Amalan dan ajaran Raja
Bomoh itu bakal diwartakan haram dan sesat kerana terpesong daripada
agama,” katanya yang dipetik dari sebuah akhbar semalam.
Sebelum ini, Ibrahim turut
membuat kemunculan khas "bermain golf" di hadapan Penjara Sungai Buloh
ketika kes pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Walau bagaimanapun, jawatankuasa tersebut masih belum memutuskan
tarikh pewartaan kerana perlu menunggu perkenan Sultan Perak, Sultan
Nazrin Muizzuddin Shah, malah ia perlu dibawa ke Sidang Dewan Undangan
Negeri (DUN).
Selain itu, Ibrahim menjadi buah mulut masyarakat dunia
kerana muncul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
ketika semua pihak memberi tumpuan terhadap usaha menjejaki pesawat
MH370.
Dia mendakwa telah dijemput oleh pegawai tertinggi negara bagi
menggunakan kaedah tradisional untuk menjejaki kehilangan pesawat milik
Malaysia Airlines itu.
Nampaknya, inisiatif ini sememangnya wajar kerana cukup-cukuplah dia memalukan Malaysia dengan tindakan mengarut lagi khurafat. -Kedahnews.com