Rakyat Perlu Masa 6 Bulan Ke Setahun Untuk Fahami #GST- Chua

KUALA LUMPUR – Rakyat memerlukan masa antara enam bulan hingga setahun untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan pelaksanaan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata setiap negara yang melaksanakan GST pastinya mempunyai masalah pada peringkat awal, seperti yang dialami negara maju termasuk Australia.

“Kerajaan sentiasa memastikan pihak berkuasa seperti Kastam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) turun padang dalam memberi kefahaman kepada rakyat tentang cukai ini.

“Pihak kastam pula misalnya, akan turun padang dan memberi nasihat kepada peniaga berkaitan GST dan bukannya memberi denda serta merta,” katanya dalam sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang ingin tahu tentang usaha kerajaan dalam memberi kefahaman kepada rakyat berhubung pelaksanaan GST.

Chua berkata KPDNKK pula akan sentiasa mengadakan lawatan dan taklimat kepada peniaga dan pengguna bagi memastikan mereka lebih memahami GST – BERNAMA