KOTA BELUD – Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Dr
Salleh Said Keruak berkata rakyat Sabah tidak akan menerima semua bentuk
ekstremisme agama dengan menyatakan ia mungkin menggugat keharmonian
dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata Sabah mempunyai budaya yang berbeza dan mengamalkan toleransi agama dan persefahaman di tahap tinggi.
Semua rakyat Sabah yang cintakan keamanan tidak dapat mnerima
ekstremisme agama. Apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia tidak
memberi kesan ke atas Malaysia timur terutama Sabah.
“Sabah tidak pernah menghadapi masalah antara penduduk Islam dan
Kristian selama ini,” kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden demonstrasi
sekumpulan penduduk Islam membantah pemasangan lambang salib di sebuah
gereja di Taman Medan, Petaling Jaya, Ahad lepas.
Salleh, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah,
menggesa rakyat Sabah supaya jangan mudah terpengaruh dengan propaganda
golongan taksub kepada agama yang cuba menimbulkan permusuhan dan
menggugat kepercayaan dalam kalangan penganut pelbagai agama di negara
ini.
“Saya percaya rakyat Sabah tidak akan membenarkan politik agama
menyusup masuk ke negeri ini yang terkenal kerana keharmonian kaum
walaupun mempunyai lebih 32 suku kaum etnik.
“Kita perlu memelihara kemanan dan keharmonian dengan apa cara sekalipun,” kata beliau.
Bekas ketua menteri itu menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman
ekstremisme agama di negara ini sambil menyeru semua rakyat Malaysia
tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik supaya bersatu dan
bangkit menentang ekstremisme agama. – BERNAMA