KUALA LUMPUR – Seorang pakar antarabangsa berpendapat masalah rasuah
di Malaysia adalah terkawal dan perkara ini terbukti melalui pelaburan
yang terus meningkat.
Michael Hershman, pengasas bersama Transparency International (TI),
sebuah badan bukan kerajaan yang memantau dan memberi publisiti tentang
amalan rasuah dalam badan korporat serta politik antarabangsa, berkata
pelaburan tidak akan berkembang di negara yang dikuasai rasuah.
“Rasuah menghalau pelaburan dari sesebuah negara. Tetapi, Malaysia
mendapat pujian sebagai sebuah negara yang bersifat mesra dengan negara
lain dalam menjalankan perniagaan,” katanya dalam sesi temu bual di
sini.
Indeks Kebebasan Ekonomi 2015 meletakkan Malaysia di tangga ke-31
sebagai ekonomi paling bebas daripada 178 negara, dengan memperoleh 70.8
mata.
Menurut laporan itu, mata yang diperoleh Malaysia meningkat 1.2 sejak
tahun lepas, dengan kadar penambahbaikan dari segi kebebasan daripada
rasuah, kebebasan untuk berniaga dan kebebasan untuk berdagang,
mengatasi kemerosotan dari segi kebebasan buruh dan pengurusan
perbelanjaan kerajaan.
Sambil menegaskan bahawa tiada negara yang bebas sepenuhnya daripada
rasuah, Hershman berkata masalah rasuah bukan berpunca daripada kerajaan
semata-mata, dan oleh itu, rakyat perlu berhenti daripada menyalahkan
kerajaan.
“Memang mudah untuk menyalahkan kerajaan, ‘mereka selalu dianggap
sebagai pihak yang jahat’, tetapi rasuah tidak akan wujud jika manusia
tidak terlibat dengannya. Oleh itu, daripada bertanya apakah yang patut
kerajaan lakukan, eloklah kita bertanya diri sendiri, apakah yang boleh
kita lakukan untuk memerangi rasuah.
“Masalahnya ialah berapa ramai yang bersedia berkata ‘tidak’ kepada
rasuah,” katanya ambil menjelaskan bahawa terdapat laporan bahawa orang
ramai keberatan untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang amalan
rasuah.
Hershman bagaimanapun memuji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)
kerana menyediakan talian khas untuk orang ramai membuat laporan kerana
langkah itu membuat mereka lebih yakin untuk tampil memberi maklumat.
Beliau mengesyorkan agar Malaysia mendidik rakyatnya sejak di
peringkat sekolah rendah lagi tentang usaha memerangi rasuah untuk
membebaskan negara ini daripada perbuatan keji itu.
“Anak-anak kita perlu dididik tentang perbezaan antara perkara betul
dan salah kerana rasuah tidak boleh dihapuskan semata-mata dengan
menjatuhi hukuman penjara, tetapi dengan mendidik masyarakat dan
mencegah mereka daripada melakukannya,” kata beliau. – BERNAMA