Remaja Maut Lemas Jatuh Lombong Di Kulim


KULIM - Seorang remaja lelaki berumur 15 tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam bekas lombong di Taman Angsana di sini hari ini.

Mayat Mohd Faiz Rizmi Mohd Nizam ditemui pasukan bomba dan penyelamat di kawasan tebing lombong kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

Ketua Pegawai Bomba dan Penyelamat Kulim Penolong Kanan Penguasa Bomba Ghazali Shuib memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.48 pagi dan pasukan pertama tiba bersama lima anggota kira-kira 10 minit kemudian.

"Mayat diserah kepada polis Kulim untuk urusan bedah siasat di Hospital Kulim," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superitendan Chin Soo Song mengesahkan kejadian ketika dihubungi dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. - Bernama