RM18.15 Juta Diperuntuk Bantu Pendidikan Orang Asli Tahun Ini – Shafie

SERDANG – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM18.15 juta bagi membantu masyarakat Orang Asli mendapatkan pendidikan sempurna dalam pelbagai peringkat pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata peruntukan itu meliputi RM13.58 juta untuk pengangkutan, RM4.37 juta wang saku dan RM208,248 bagi membiayai pelbagai yuran.

Katanya, peruntukan itu bagi memastikan kelancaran pengurusan dan bantuan kepada 18 suku etnik pribumi itu bagi meningkatkan pendidikan mereka setaraf kaum lain.

“Saya dimaklumkan sehingga kini terdapat 48,076 pelajar Orang Asli daripada peringkat prasekolah sehingga ke universiti awam di seluruh negara,” katanya pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Orang Asli Tahun 2014 di Seri Kembangan, di sini, semalam.

 Pada majlis itu seramai 128 pelajar cemerlang Orang Asli menerima anugerah yang disampaikan Mohd Shafie. – Berita Harian