RM62,888 Sebuah, Naza Unjur Jualan Harley-Davidson Street 750 Meningkat

Harley-Davidson Street 750
KUALA LUMPUR – NAZA Prestige Bikes Sdn Bhd mengunjur peningkatan jualan sebanyak 20 peratus bagi model Harley-Davidson Street 750 tahun ini berbanding 2014.

Naib Presiden Bersekutu NAZA World Two-Wheel, Juan Chow Wee berkata bagi tahun ini, pihaknya menyasarkan jualan 150 unit motor yang boleh ditempah khas itu dan mampu menarik penunggang muda di bandar.

Motosikal Street 750 itu turut diunjur menyumbang 25 peratus kepada keseluruhan produk Harley-Davidson, tahun ini.

“Cirinya yang minimal itu serasi bagi penunggang muda di bandar yang menunggang setiap hari, bukannya untuk dijadikan hiasan semata-mata.

“Ia turut menjadi model terkini yang menyertai barisan Dark Custom Harley-Davidson yang membantu menjadikan jenama ini sebagai yang terlaris dalam kalangan belia di Amerika Syarikat sejak enam tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran model berkenaan di sini, hari ini.

Model Street 750 itu berharga RM62,888 (termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan) dengan jaminan kilang dua tahun atau 80,000 kilometer – yang mana terdahulu.

Ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu vivid black, black denim (biru) dan fire red.

NAZA Prestige Bikes adalah pengimport tunggal serta rasmi bagi motosikal, pakaian serta aksesori Harley-Davidson. – BERNAMA