Sugiman dan Yati |
ALOR SETAR - Percaya atau tidak, sepasang suami isteri telah melakar memori unik
tersendiri dengan hanya makan sepinggan selama 26 tahun sejak mereka
diijab kabul.
Pasangan yang dikenali sebagai Sugiman dan Yati ini mendedahkan tentang
amalan sejak hari majlis perkahwinan mereka terbawa-bawa hingga kini
meskipun sudah memiliki dua cahaya mata.
Kata Yati, amalan makan sepinggan ini sudah menjadi rutin yang dilakukan setiap hari tidak kira tempat.
“Dan hingga hari ini, setiap hari, kami tetap makan sepinggan.
Kadangkala kami menyuap satu sama lain. Tidak kiralah di mana, di rumah
mahupun di kedai,” katanya.
Pasangan dari Palmerah, Jakarta Barat ini mengakui sering diketawa orang ramai,
namun mereka tidak malu atau kekok untuk berbuat demikian meskipun sudah
meningkat usia.
Bagi pasangan itu, amalan tersebut menjadikan mereka semakin erat dan bertambah kasih sayang.
Menurut Yati, mereka tetap akan makan sepinggan walaupun ketika bergaduh dan bermasam muka.
“Memang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan rumah tangga, ada
kalanya kami bergaduh. Kadangkala sampai seminggu tak bercakap. Tetapi
kami tetap makan sepinggan,” kata Yati sambil ketawa.
Amalan romantis pasangan ini menimbulkan reaksi positif ramai yang ingin mencontohi resepi kebahagiaan mereka.
Ada pasangan di Malaysia yang niat mahu mencuba amalan ini? - Kedahnews.com