Ruang Niaga Macam JPO Di KLIA

KUALA LUMPUR  — Kerajaan meluluskan satu lagi ruang perniagaan mewah menjual barangan premium, Mitsui Outlet Park, terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (Pelancongan) itu bagi merancakkan lagi sektor pelancongan Malaysia.

Beliau berkata projek tersebut bakal menjadi kompleks ruang perniagaan terbesar di Asia Tenggara.

“Pelancongan merupakan penyumbang keenam tertinggi kepada ekonomi Malaysia pada 2014.

“Tidak hairanlah, ini berikutan jumlah pelancong meningkat sebanyak 6.7 peratus yang membawa kepada hampir 28 juta orang sempena Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya pada Pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2014 di sini hari ini.

Najib berkata kompleks itu dijangka mula beroperasi pada pertengahan tahun ini.

“Diharap, outlet ini akan mengulangi kejayaan yang dicapai oleh Johor Premium Outlets, yang kini telah beroperasi selama hampir empat tahun,” katanya. — BERNAMA