Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim |
KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan
sejumlah RM347.54 juta kepada skim Bantuan Orang Tua (BOT) yang telah
disalurkan kepada 131,571 penerima di seluruh negara tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani
Abdul Karim berkata bantuan itu bagi membantu menampung keperluan asas
warga emas supaya mereka boleh terus tinggal bersama keluarga dalam
komuniti.
“JKM turut menyediakan institusi seperti Rumah Seri Kenangan dan
Rumah Ehsan yang memberi penjagaan dan perlindungan kepada warga emas
yang daif,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Noraini
Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu senarai kemudahan yang
disediakan untuk warga emas dan bilangan penerimanya.
Rohani berkata terdapat sembilan Rumah Seri Kenangan di Semenanjung
dengan bilangan penghuni seramai 1,590 manakala dua buah Rumah Ehsan
menempatkan 216 penghuni dengan 145 orang daripadanya adalah warga emas.
Jelasnya, kadar wang saku bagi penghuni warga emas di institusi JKM
telah dinaikkan daripada RM10 sebulan kepada RM30 sebulan mulai tahun
lalu.
Selaras dengan hasrat kementerian untuk membolehkan golongan tersebut
terus tinggal dalam komuniti dan bukannya di rumah warga emas, beberapa
program dilaksana termasuk mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas,
Khidmat Bantu di Rumah serta Unit Penyayang Warga Emas.
“Selain itu, Program Pembelajaran Sepanjang Hayat, skim pengurangan
yuran untuk calon pascasiswazah warga emas turut diwujudkan seperti di
Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya untuk menggalakkan warga
emas melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. – BERNAMA