KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh pada 4 April ini, satu-satunya gerhana bulan yang dapat dilihat di Malaysia pada tahun ini.
Mengikut satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Angkasa Negara
(ANGKASA) di sini hari ini, fasa fenomena tersebut bermula pada 5.01
petang, iaitu bulan memasuki bayang-bayang penumbra.
Kemuncak gerhana berlaku pada 8 malam dan fenomena itu berakhir pada
10.59 malam, iaitu bulan keluar dari bayang-bayang penumbra.
Menurut kenyataan itu, di Sabah, bulan akan terbit lebih awal
berbanding di semenanjung iaitu sekitar 6 petang dan untuk itu penduduk
di Sabah dapat menyaksikan fenomena tersebut bermula dari fasa separa
sehingga tamat keseluruhan gerhana.
“Di semenanjung pula, bulan hanya akan terbit sekitar 7.20 malam dan
ini bermakna fasa gerhana bulan penuh bermula sejurus selepas bulan
terbit,” menurut kenyataan berkenaan.
Lokasi terbaik untuk melihat fenomena tersebut adalah di kawasan yang paling timur dengan ufuk yang tidak terlindung.
Sehubungan itu, ANGKASA dan Jabatan Mufti Selangor akan mengadakan
program pencerapan bulan dan planet Musytari, melihat bintang Sirus dan
buruj Belantik (Orion) di perkarangan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit
Jelutong, Selangor.
Selain itu, ANGKASA juga akan membawa Mini Planetarium bagi memberi
peluang kepada orang ramai untuk menonton tayangan filem pendek
astronomi secara percuma.
Untuk mendapatkan perkembangan terkini tentang fenomena tersebut,
orang ramai boleh melayari laman sesawang, Facebook dan Twitter: Agensi
Angkasa Negara (ANGKASA) atau hubungi talian 03-22734403/5484.- BERNAMA