KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan
menyenaraihitamkan mana-mana pelajar dan kedai buku yang didapati
menyalahgunakan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M).
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata
pihaknya telah mengagihkan garis panduan penggunaan dan penerimaan BB1M
kepada semua kedai buku dan institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh
negara.
“KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) turut melaksanakan proses
pemantauan ke atas kedai buku dan semua universiti yang mengagihkan BB1M
kepada pelajarnya berdasarkan pengurusan rekod mereka.
“Selain itu, kami turut memberi peringatan kepada para pelajar yang
menerima BB1M supaya tidak menukarkannya kepada bentuk tunai dan hanya
dihadkan dalam pembelian buku sahaja,” katanya ketika menjawab
pertanyaan Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki dalam sesi soal jawab
pada persidangan Dewan Negara di Parlimen, semalam.
Dr Asyraf ingin tahu sejauh mana proses pemantauan dibuat dalam
memastikan bantuan BB1M berjumlah RM250 setiap pelajar dimanfaatkan dan
tidak disalahgunakan oleh pelajar IPT.
Yap berkata pemberian BB1M kepada semua pelajar adalah bagi
meringankan beban perbelanjaan pembelian buku serta memupuk minat
membaca dalam kalangan mereka.
“Oleh itu, kami memerlukan kerjasama daripada semua pihak, termasuk
orang awam dan pemimpin masyarakat supaya membuat aduan kepada kami
sekiranya mendapati penyalahgunaan BB1M dalam kalangan pelajar,”
katanya. – BERNAMA