KUALA TERENGGANU – Tiga anggota Rela di Terengganu dilucutkan
keanggotaan mereka daripada pertubuhan itu kerana didapati bersalah
menyalahgunakan senjata api.
Pengarah Rela Terengganu Nasharuddin Mat Nasir berkata tiga kes di
dalam tempoh enam bulan itu melibatkan anggota Rela dari Hulu
Terengganu, Dungun dan Kuala Terengganu di mana anggota Rela terbabit
ditangkap kerana membawa keluar senjata api dari daerah berkenaan.
“Anggota Rela yang ingin membawa keluar senjata api dari daerah yang
dibenarkan perlu membuat permohonan khas daripada pihak polis dan
kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka ditahan atas sebab
penyalahgunaan senjata api,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau diminta mengulas kematian seorang anggota Rela akibat terkena
tembakan di bahagian dada dan tangannya ketika sedang berburu bersama
dua rakannya di Hutan Kacong, Lata Tembakah di Hulu Besut tengah malam
kelmarin.
Insiden itu yang menyebabkan kematian Shamsuddin Derahim, 56, dari
Kampung Cawangan, Hulu Besut turut menyebabkan seorang lagi rakannya
yang berumur 47 tahun cedera ringan dipercayai terkena serpihan peluru.
Setakat ini, Rela Terengganu mempunyai 210,000 anggota dan daripada
jumlah itu lebih 1,000 daripadanya boleh memiliki senjata api tersebut
atas faktor keselamatan setempat. – BERNAMA