Sebanyak 75,191 Rumah PPR Telah Siapkan Untuk Rakyat

KUALA PERLIS – Kerajaan Persekutuan telah menyiapkan 75,191 unit rumah dari 102,435 unit di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dan Ke-10.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, sebanyak 27,244 unit masih dalam peringkat perancangan dan pelaksanaan.

Sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RM1.9 bilion dalam RMK-10 bagi melaksanakan program itu, katanya semasa berucap pada majlis penyerahan PPR Taman Wai Permai di sini, semalam.

Halimah mewakili KPKT menyerahkan replika kunci kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sebagai simbolik penyerahan PPR itu yang mengandungi 200 unit rumah kluster satu tingkat tiga bilik dan merupakan konsep terbaru PPR.

Beliau berkata, sebelum ini KPKT telah membina PPR Bintong sebanayak 748 unit dan PPR Sena sebanyak 480 unit, kedua-duanya di Kangar manakala PPR Arau sebanyak 400 unit dijangka dibina sebelum akhir tahun ini. 

Bercakap pada sidang akhbar selepas itu Halimah berkata, Taman Wai Permai adalah PPR tercantik pernah dibina di seluruh negara setakat ini.

Katanya semua PPR yang dirancang selepas ini berkonsep komuniti sejahtera dengan memiliki kemudahan asas seperti dewan serbaguna, surau, gerai dan padang untuk riadah.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM300 juta tahun ini bagi melaksanakan rumah mampu milik di bawah skim ‘MyHome’ pertama dan ‘MyHome2.’

Skim MyHome pertama adalah rumah berkeluasan 800 kaki persegi berharga RM80,000 hingga RM120,000 bagi pembeli berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 manakala MyHome2 berkeluasan 850 kaki persegi berharga RM120,000 hingga RM220,000 bagi yang berpendapatan RM4,001 hingga RM6,000.

“Duit RM300 juta itu dibayar kepada pemaju sebagai pendahuluan. Ini bermakna pembeli menikmati subsidi maksimun RM30,000 bagi mana-mana rumah (skim) yang sesuai dengan pendapatan mereka,” katanya.

Halimah berkata, kerajaan turut mengambil kira keperluan pasangan muda berpendapatan bawah RM2,500 sebulan di bandar-bandar besar dengan membina Program Rumah Transit 1Malaysia untuk disewa pada kadar RM250 sebulan.

Katanya projek perintis program itu sebanyak 632 unit sedang dibina di Bukit Jalil mendapat sambutan menggalakkan apabila 3,000 pasangan membuat permohonan untuk menyewanya.

Azlan pula berkata projek Taman Wai Permai dibina untuk mangsa kebakaran Kampung Seberang Tok Pi yang terbakar pada 2004 dan Kampung Kepala Batas pula terbakar pada 2009 membabitkan 128 mangsa.

Katanya kerajaan negeri menyediakan tanah seluas lima hektar manakala kerajaan pusat memperuntukan RM24.5 juta bagi melaksana projek itu yang siap pada Disember tahun lepas. 

“Kos rumah sahaja RM120,000 tidak termasuk tanah namun mangsa kebakaran hanya diminta membayar RM35,000 sahaja bagi seunit,” kata Azlan dan menambah semua PPR selepas ini akan dibina bertingkat kerana tanah yang terhad. – BERNAMA