KUALA LUMPUR – Kerajaan menanggung 98 peratus kos perubatan untuk
semua rakyat Malaysia yang mendapatkan rawatan kesihatan di hospital
atau klinik kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya kerajaan juga akan terus berusaha memastikan kualiti
perkhidmatan yang disediakan di hospital dan klinik kerajaan
ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Kerajaan mengambil berat dan amat komited dalam memastikan kesihatan
rakyat Malaysia terus terpelihara serta perkhidmatan kesihatan negara
terus maju dan berkualiti, tetapi pada masa sama tidak membebankan dan
boleh dinikmati rakyat teramai,” katanya menerusi catatan terbaharu
bersempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia di blognya NajibRazak.com.
Sambutan Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun
merupakan kempen yang dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, bertujuan
meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat dunia mengenai isu
berkaitan kesihatan.
Perdana Menteri berkata bersempena sambutan itu, beliau menyarankan
agar semua rakyat terus mengamalkan budaya hidup sihat seperti beriadah,
memakan makanan berkhasiat dan melakukan aktiviti kesihatan agar dapat
menghindarkan diri daripada penyakit.
Jelasnya, statistik tahap obesiti di negara ini agak membimbangkan,
namun beliau yakin sekiranya rakyat Malaysia semua memainkan peranan
bersama dalam mengamalkan budaya hidup sihat, mereka mampu mencegah
diri, bukan sahaja daripada obesiti, bahkan banyak penyakit berbahaya
lain. – BERNAMA