Sekitar Dialog Muhyiddin Bersama Media Indonesia @FaazFitriah

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Jakarta - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, mengadakan pertemuan dan berdialog selama hampir dua jam dengan semua ketua editor media Indonesia, di sini.

Pada perjumpaan itu, Muhyiddin meminta media Indonesia memberikan liputan berita seimbang terutama mengenai isu tertentu yang membabitkan kedua-dua negara, mengetepikan isu kecil sebaliknya mengutamakan isu cabaran lebih besar yang dihadapi secara bersama.

Beliau turut meminta Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang menganjurkan majlis itu, supaya bersama-sama berjuang mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu dan Indonesia, sebagai bahasa di peringkat antarabangsa.

Mengenai isu berkaitan persempadanan maritim, Muhyiddin meminta liputan mengenai tindakan yang dikenakan terhadap kapal nelayan Malaysia yang menceroboh perairan Indonesia dilaporkan secara seimbang.

Sebagai contoh media Indonesia boleh menarik perhatian bahawa di pihak Malaysia, kerajaan lebih mengutamakan langkah mengusir kapal yang menceroboh daripada mengambil tindakan undang-undang, termasuk meletupkan kapal nelayan terbabit.

Muhyiddin juga meminta media Indonesia membuat liputan mengenai syarikat terkemuka Malaysia yang menjalankan perniagaan di Indonesia dan yang membantu Indonesia dari aspek teknologi, modal dan kepakaran dalam pengurusan.

“Malaysia mempunyai banyak syarikat yang menjalankan perniagaan di luar negara dan media Indonesia haruslah memberi keyakinan kepada rakyat Indonesia, (dengan) memberi peluang (kepada kami) dan kami akan buktikan,” katanya ketika menjawab satu soalan mengenai kemampuan syarikat dari Malaysia untuk menyertai projek-projek mega di negara ini.

Muhyiddin berkata, isu kecil seperti dakwaan hak milik makanan dan seni budaya tidak seharusnya dilaporkan secara negatif oleh media Indonesia kerana asal usul budaya Malaysia dan Indonesia adalah serupa.

“Kita harus melihat isu yang lebih besar untuk berkongsi bersama seperti menghadapi ancaman penjajahan baharu dan bagaimana Malaysia dan Indonesia boleh berkongsi pengalaman serta kepakaran untuk menghadapi cabaran-cabaran baharu dalam ekonomi dan politik di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sebanyak 28 ketua editor Indonesia dan Malaysia menyertai majlis dialog itu.

Antara yang turut hadir ialah Pengurus Besar Bernama yang juga Pengerusi Iswami Malaysia, Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab serta Ketua Iswami Indonesia, Saiful Hadi. - Bernama