"Selagi Saya Hidup, Tak Payahlah Cerita Benda Ni" - Allahyarham Jamaluddin Jarjis


Semalam kita digemparkan dengan insiden duka mengenai nahas helikopter yang di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih petang tadi turut mengorbankan Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Antara mangsa lain dalam kejadian itu adalah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang Kapten Clifford William Fournier dan pembantunya Aidana Baizieva, ahli perniagaan Dato’ Tan Huat Seang  dan pengawal peribadi Dr Jamaluddin, Razakan Seran.

Kesedihan dari insiden berkenaan turut dikongsikan bersama oleh seorang pengguna laman sosial Facebook, Syahril Abdul Kadir yang menceritakan pengalaman beliau bersama Allahyarham Dr Jamaluddin.

Syahril bersama anak-anak yatim di Pulau Nias, Sumatera

Menurut Syahril, sudah hampir 10 tahun dia diamanahkan untuk menyampaikan sumbangan zakat peribadi Allahyarham Dr Jamaluddin kepada anak-anak yatim di sebuah pusat jagaan anak yatim di Pulau Nias, Sumatera Utara Indonesia, yang pernah dilanda bencana tsunami.

Katanya, sumbangan zakat itu dilakukan secara rahsia tanpa pengetahuan umum memandangkan Allahyarham enggan mendedahkan jariah yang beliau sumbangkan ketika hayatnya.

"Selagi saya hidup tak payahlah cerita benda ni," kata Allahyarham Ahli Parlimen Rompin itu kepada Syahril.

Berikut adalah status Syahril yang dimuat naik sejurus selepas disahkan Dr Jamaluddin disahkan terkorban dalam nahas udara yang meragut enam nyawa itu dan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka... -Kedahnews.com

Untuk sekian kalinya...sejak sekian lama, saya ingin memberitahu...inilah rumah anak yatim di Pulau Nias, Sumatera Utara Indonesia yang dibantu Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis 'secara senyap-senyap' sejak hampir 10 tahun lalu. 

Saya adalah orang yang akan dihubungi secara direct melalui telefon bimbit oleh Tan Sri untuk membawa sejumlah duit zakat peribadi beliau untuk anak-anak yatim mangsa gempa bumi ini terutama menjelang musim lebaran. Selalunya akan ada dua tiga orang kepercayaan beliau akan bersama saya dalam setiap misi bantuan ini 

Selain daripada anak yatim mangsa gempa bumi beragama Islam, Tan Sri atas dasar kemanusiaan juga pernah mengarahkan kami menyalurkan sumbangan kepada anak yatim mangsa gempa bumi beragama Kristian di pulau itu.

Kali terakhir saya membawa wang zakat Tan Sri ke sini ialah kira2 empat bulan lepas...dan utk pengetahuan semua, bukan ini saja sumbangannya malah byk lagi terutama di dalam negara tetapi semua dibuat tanpa media dan publisiti. 

" Selagi saya hidup tak payahlah cerita benda ni, " kata beliau. Itu yg sering terngiang di telinga saya sehingga ke hari ini .

Semoga Allah merahmati beliau...Al Fatihah...saya kehilangan kata-kata...

SAK: Tan Sri damailah di sana...hajat dan amanah Tan Sri telah kami tunaikan...doa kami bersama Tan Sri...selamanya.