Selesai Umrah, Giliran Hanez Suraya Pula Berlitup Hijab

Sebagaimana Rozita Che Wan sebelum ini, pelakon jelita, Hanez Suraya juga mengikuti jejak langkah untuk tampil berhijab setelah selamat pulang mengerjakan umrah baru-baru ini.

Hanez yang berkongsi gambarnya bertudung dalam laman Instagram dengan kapsyen, ‘Semoga penghijrahan saya ini berkekalan.. Amin’ sekaligus memberi gambaran bahawa aktres ini sudah menetapkan niat untuk berhijrah.

“Memang sejak ke sana, hati saya kuat untuk bertudung. Apatah lagi di sana, semua wanita Islam bertudung. Lalu semangat nak bertudung itu jadi semakin membuak-buak.

“Perasaan untuk bertudung itu jadi lebih kuat ditambah dengan saya kini yang sudah jarang berlakon. Lalu apa lagi yang saya perlu fikirkan lagi,” kata Hanez.

han1.transformed

Dalam pada itu, Hanez mengharapkan doa daripada peminatnya supaya diberi ketetapan hati agar niatnya untuk berhijrah berterusan.

“Sama ada saya terus bertudung atau tidak, doakan yang baik sahaja. Saya harap ia dipermudahkan.
“Saya bimbang timbul rasa riak. Biar saya perlahan-perlahan mengikut ‘rentak’ baharu ini. Malahan kalau keluar rumah sekarang pun saya sudah bertudung,” ujarnya lagi.

Hanez yang mengerjakan umrah bersama suami Romie Razin Adilha dan anak tirinya, Putera Adreeshah sejak 14 April lalu telah selamat pulang ke Malaysia, baru-baru ini.