Seorang lagi penulis blog telah ditetak hingga maut di ibu kota Bangladesh,
Dhaka semalam dalam satu serangan ganas terbaharu terhadap penulis bebas di
negara berkenaan, kata seorang ketua polis tempatan di sana.
Ketua polis berkenaan, Wahidul Islam memberitahu bahawa pihaknya telah menangkap dua
lelaki berhubung pembunuhan itu yang berlaku beberapa minggu selepas
seorang penulis blog Amerika Syarikat (AS) turut maut akibat ditetak,
juga di ibu negara Bangladesh itu.
Menurut sumber media antarabangsa, penulis blog dari negara "uncle sam" itu merupakan seorang ateis atau tidak mempercayai tentang kewujudan Tuhan.
“Mangsa ditetak hingga mati pagi ini (semalam) oleh dua penyerang
bersenjatakan dua bilah pisau pada jarak 460 meter dari kediamannya di
kejiranan Begunbari, di sini.
“Kedua-dua penyerang itu ditangkap ketika cuba melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Wahidul lagi, pihak polis tidak pasti sama ada mangsa yang berusia 27
tahun itu, Washiqur Rahman juga seorang ateis tetapi seorang penulis
blog lain menjelaskan bahawa dia dikenali kerana sering mengkritik dan menghina Islam secara terbuka.
“Washiqur menulis menggunakan nama pena Kutshit Hasher Chhana atau
itik hodoh,” kata ketua pertubuhan penulis blog Rangkaian Aktivis Dalam
Talian, Imran Sarker.
Sebelum ini, polis turut menangkap seorang suspek berhubung pembunuhan penulis blog AS berkenaan, Avijit Roy. – Kedahnews.com