IPOH – Sultan Nazrin Shah adalah seorang yang merendah diri serta
berjiwa rakyat, kata Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan
Seri Mohd Zahidi Zainuddin.
Beliau menjelaskan meskipun menamatkan pengajian di peringkat doktor
falsafah, Sultan Nazrin tidak menggunakan gelaran doktor pada nama
baginda kerana tidak mahu menonjol-nonjolkan diri.
“Sebagai Bendahara yang selalu berdampingan dengan Tuanku, apabila
Tuanku berangkat ke majlis bersama rakyat seperti berbuka puasa di
masjid, tahlil atau solat Jumaat, rakyat akan berkerumun dengan tuanku,
adakala melebihi masa yang kita berikan kerana Tuanku menggunakannya
untuk melayani rakyat.
“Jadi yang saya lihat kemesraan yang ditonjolkan oleh rakyat,
khususnya di negeri ini kepada baginda, adalah amat membanggakan,”
katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat
Mat Nayan dan Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim.
Mohd Zahidi berkata, antara sikap Sultan Nazrin yang boleh dibanggakan oleh rakyat Perak ialah kesederhanaan baginda.
“Baru-baru ini Tuanku dan keluarga secara informal mengunjungi sebuah
pasar raya tanpa pengawal peribadi dan seperti biasa, rakyat berkerumun
dan bertanya pelbagai soalan kepada baginda, Tuanku tidak mengetepikan
atau menghalang mereka, bahkan baginda bermesra dengan rakyat jelata,”
katanya.
Beliau berkata, Sultan Nazrin Shah juga amat prihatin dengan kesusahan yang dihadapi rakyat jelata.
“Misalannya, baru-baru ini, semasa negeri Perak menghadapi malapetaka
banjir, awal-awal lagi Tuanku sudah turun padang melihat sendiri akan
derita yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir.
“Saya lihat ada satu ketika Tuanku menitiskan air mata melihat akan keadaan rakyatnya,” katanya.
Mohd Zahidi berkata Sultan Nazrin juga enggan menerima sebarang cenderamata jika baginda berangkat ke satu-satu majlis.
“Tuanku pernah bertitah, apabila baginda berangkat ke satu-satu
majlis, pihak penganjur tidak digalakkan menyediakan cenderamata kepada
baginda, dan negeri Perak khususnya, telah mengambil iktibar di semua
peringkat berhubung perkara ini.
“Sekurang-kurangnya kita di peringkat bawahan tidak perlu
mengeluarkan duit dan pening kepala memikirkan apa yang nak dihadiahkan
kepada Tuanku kerana Tuanku sudah memiliki segalanya,” katanya.
Beliau berkata, dari segi perwatakan, Sultan Nazrin memiliki banyak
persamaan dengan ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Shah.
“Satu daripada perkara yang ingin saya nyatakan di sini mengenai
Sultan Nazrin dan Almarhum Sultan Azlan adalah mereka seorang yang amat
simpati, mengambil berat dan prihatin terhadap rakyat.
“Mereka juga amat teliti namun tetap mengambil kira pandangan orang
lain serta pandangan rakyat, itulah juga sebabnya apabila Tuanku
membangkitkan satu-satu perkara di dalam Dewan Negara Perak, baginda
akan mendapatkan maklum balas atau pendapat ahli Dewan Negara sebelum
membuat satu-satu titah kepada rakyat,” katanya.
Mohd Zahidi berkata selain itu, penampilan kedua-dua Sultan Perak itu sentiasa kemas dan segak.
“Kita tidak boleh sangkal bahawa penampilan Sultan Azlan Shah adalah kelas pertama.
“Saya berani berkata begitu kerana saya dahulu bertugas sebagai ADC
(aide-de-camp atau juruiring) baginda ketika Tuanku (Sultan Azlan Shah)
menjadi Yang di-Pertuan Agong dari tahun 1990 hingga 1994 ketika saya
masih berkhidmat dan berpangkat Kolonel.
“Begitu juga Sultan Nazrin, belum pernah saya lihat Tuanku berpakaian
tidak senonoh dan jika kita lihat dalam pergerakan Tuanku ketika secara
informal ke pasar raya, dan bertembung rakyat serta diminta untuk
bergambar, sepanjang masa baginda berdua kelihatan segak dan berpakaian
kemas,” katanya. – BERNAMA