Siti Nurhaliza "Bersama" Tun M


SINGAPURA – Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, menyatakan beliau akan ‘sentiasa bersama’ mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sambil menyatakan sokongan secara terbuka.

Ini susulan luahan terbaharu Dr. Mahathir menerusi blognya pada Isnin yang mengakui dirinya ‘keseorangan’ selepas melemparkan kritikan demi kritikan keras terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Siti Nurhaliza, melalui Instagramnya menulis: “Love you Tun, sentiasa bersama Tun… Sejarah kepimpinan Tun harungi pelbagai cabaran dugaan membangunkan Malaysia hingga terkenal di mata dunia, patut kita hargai.

“Tiada yang muda kalau tidak kerana orang tua .. #sayaanakMalaysia #sebak.” nukil penyanyi kelahiran Pahang, sama negeri dengan Najib; yang dipetik stesen penyiaran milik pemerintah, MediaCorp Singapura pada Rabu.

Dalam catatannya itu, Siti Nurhaliza memuat naik gambar Dr Mahathir berlatarbelakangkan logo 1MDB, yang setakat ini menerima lebih 19,000 ‘likes‘, menurut laporan portal propembangkang, Malaysian Insider.

Dalam catatan di blog Chedetnya itu, yang bertajuk ‘Soal Tak Jawab’, Dr. Mahathir mengakui dirinya bersendirian dalam mengkritik pentadbiran Najib, khususnya isu kontroversi, 1MDB, yang menanggung hutang RM42 bilion.

“Saya sedar saya (kini) keseorangan. Tetapi jika saya juga berasa bertanggungjawab kepada rakyat, salahkah. Apabila duit rakyat hilang dan ini tersembunyi daripada (pengetahuan) rakyat, salahkah kalau saya tanya.

“Hakikatnya wang 1MDB ada di mana masih tidak dijawab, kata Dato’ Sri Najib wang itu tidak ada di Cayman Islands. Tetapi dulu mengaku ada di Cayman Islands dan sudah dibawa balik,” ujar Dr. Mahathir.

Menyusuli kritikan tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata Dr. Mahathir mungkin disiasat polis akibat catatan kontroversi yang ditulis di blog popular beliau itu, Chedet.cc.

Para pemimpin UMNO pula setakat ini menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Najib kecuali Kedah yang kebetulan diterajui anak Dr. Mahathir sendiri, dan juga Menteri Besar, Datuk Mukhriz yang akan mengummkan pendirian rasmi UMNO Kedah pada 24 April ini. – Agensi