ALOR SETAR - Tiga sayap UMNO Negeri Kedah menegaskan bahawa tiada sebarang kepentingan bagi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk memberi sebarang kenyataan sama ada menyokong Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak atau tidak.
Kata sumber, bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya tidak menyerang Perdana Menteri, melainkan melontarkan beberapa persoalan yang sebahagiannya sudah terjawab sebelum ini dengan jelas.
"Tentang jawapan bagi soal 1MDB tu, kita tunggulah hasil siasatan audit dari Ketua Audit Negara dan PAC. Najib dah jawab dengan jelas, baik dan telus.. dan isu 1MDB tu akan dijawab dengan laporan tu... semua tu dianggap selesailah... ada soalan, ada jawapan..selesai.
"Perkara ni takdak kena mengena dengan Mukhriz pun...," katanya yang turut sama hadir bertemu Mukhriz di ibu pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah sejurus sebelum sidang media diadakan.
Katanya, sebab itulah ketiga-tiga sayap UMNO berkenaan mencadangkan kepada Mukhriz supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media mengenai isu terbabit meskipun pada 24 April ini, tarikh yang dijanjikan Menteri Besar itu untuk menyatakan pendirian rasminya.
Mengulas mengenai sokongan Mukhriz terhadap Najib, sumber menjelaskan bahawa tidak timbul soal tersebut kerana selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, sudah tentulah Mukhriz mempunyai keyakinan tinggi dan menyokong Presiden parti.
"Tak payah tanya pun soalan tu.. kalau Mukhriz tak sokong Presiden, dah tentu dia terjah macamana dia buat kat Pak Lah dulu... jadi tak perlu persoal sokongan Mukhriz pada Najib.
"Sebenarnya, Mukhriz beritahu tadi..hubungan dia memang baik dengan Najib.. dah banyak kali jumpa sebelum ni..baru ni pun ada jumpa.. hubungan depa memang baik, sebab tu kami tak suka orang keruhkan keadaan," jelasnya lagi.
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Kedah di sidang media berkenaan |
Dalam kenyataan media tergempar petang tadi, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Kedah menjelaskan bahawa agenda mendesak Mukhriz untuk menyatakan pendirian beliau adalah tindakan negatif yang mampu memecah belahkan perpaduan parti di negeri itu.
Justeru itu, ketiga-tiga sayap berkenaan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menjadi "jemuan" mengadu domba mengada-adakan cerita supaya menghentikan perbuatan tersebut atau mereka terpaksa berdepan dengan sayap-sayap UMNO Kedah itu.
Sidang media berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kedah, Datuk Maznah Abdul Hamid, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Dato Shaiful Hazizy Zainol Abidin dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kedah, Datin Noorhashimah Md. Nowar. -Kedahnews.com