ALOR SETAR - Sokongan secara terbuka oleh ramai pihak khususnya di kalangan ahli UMNO diakui memberi masalah kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usahanya menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.
Dr Mahathir berkata, masalah bagi dirinya adalah membabitkan dalaman parti itu sendiri apabila ahlinya bertindak menyatakan sokongan mereka kepada Najib.
"Masalah saya adalah dalam UMNO sendiri, ahli UMNO sudah menyatakan sokongan kepada Najib,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari The Malaysian Insider, semalam.
Bekas Perdana Menteri itu mula menyerang kepimpinan Najib secara terbuka dan dikatakan mahu menjatuhkan Presiden UMNO itu setelah menolak saranan ahli serta pemimpin parti yang meminta beliau menggunakan saluran yang lebih baik untuk menegur Perdana Menteri itu.
Dr Mahathir sebelum ini 'berjaya' menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dari jawatan nombor satu negara itu setelah mendapat sokongan dari ramai pihak, termasuk pemimpin-pemimpin kanan UMNO serta majoriti ahli-ahli UMNO, selain bertindak keluar parti tanda protes.
Setelah berjaya memenuhi matlamat menjatuhkan Abdullah, Dr Mahathir kembali menyertai UMNO dengan menyerahkan borang keahliannya kepada Najib, sekaligus menyatakan sokongan beliau pada Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu.
Tun M dalam pada itu turut menolak hasrat Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang mempelawa beliau untuk menjalin kerjasama untuk menjatuhkan Najib dan membebaskan bekas Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang merengkok di penjara setelah didapati bersalah melakukan jenayah.
"Saya tidak akan kerjasama dengan sesiapa untuk jatuhkan Najib, pastinya tidak dengan pembangkang," katanya lagi. -Kedahnews.com