GEORGETOWN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meminta bantuan
polis untuk memberhentikan ceramah mana-mana calon atau parti politik
yang tidak mendapat kebenaran daripada Ketua Polis Daerah semasa kempen
pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata sehubungan itu,
pihaknya menubuhkan enam pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya
(PP-KPR) bagi memantau aktiviti sepanjang tempoh berkempen selaras
dengan peruntukan Seksyen 27B Akta 5. Fungsi PP-KPR di bawah Seksyen 27E
Akta 5.
“Selain permit ceramah, pasukan penguat kuasa juga akan membuat
rondaan dan memantau aktiviti berkempen oleh calon atau ejen pilihan
raya dan parti politik dan menurunkan bahan kempen yang melanggar Akta
5,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Ghani juga berkata pada hari penamaan calon Sabtu ini, SPR
hanya membenarkan 100 wakil bagi setiap calon yang ingin bertanding
masuk ke kawasan dewan penamaan calon.
Katanya, tempat penamaan calon akan dibuat di Dewan Perdana, Institut
Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam dan tempoh masa penamaan
calon bermula 9 hingga 10 pagi.
Abdul Ghani berkata sebagai elemen tambahan kepada prosedur
pengundian bagi mengelakkan sebarang percubaan untuk mengundi dua kali
oleh mana-mana pengundi tidak bertanggungjawab, dakwat pilihan raya akan
digunakan dalam PRK Permatang Pauh pada hari pengundian awal iaitu 3
Mei dan pengundian biasa pada 7 Mei ini.
“Untuk PRK ini, SPR tidak lagi menggunakan kaedah mencalit seperti
yang digunakan semasa pilihan raya umum ke-13, sebaliknya
pengundi-pengundi perlu mencelup jari mereka ke dalam dakwat pilihan
raya,” katanya.
Abdul Ghani berkata bagi memastikan proses penamaan calon berjalan
dengan aman dan harmoni tanpa sebarang gangguan, semua pihak termasuk
pemimpin-pemimpin parti politik, calon bertanding, penyokong, pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) diminta mematuhi undang-undang, peraturan,
tataetika dan arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR dan
Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar
Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga
Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar
melalui anggota keluarganya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang
Pauh dengan menewaskan calon Barisan Nasional Dr Mazlan Ismail dengan
majoriti 11,721 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK
itu pada 25 April manakala hari pengundian pada 7 Mei. – BERNAMA