SPRM Panggil 153 Pemilik Kenderaan Di"Klon"


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil kesemua 153 pemilik kenderaan diklon yang disita dalam operasi bersama SPRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terengganu baru-baru ini untuk diambil keterangan.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, siasatan SPRM mendapati rata-rata pemilik-pemilik kenderaan terbabit berada di Terengganu dan Kelantan. 

“Mereka akan dipanggil dalam tempoh dua minggu ini untuk membantu siasatan berhubung pemilikan kenderaan tanpa dokumen yang sah.

“SPRM memberi peringatan kepada mereka yang telah membeli atau terbeli kenderaan lusuh dari Singapura dan menggunakan secara tidak sah supaya dengan segera menyerahkan kenderaan masing-masing kepada mana-mana Pejabat SPRM terdekat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. 

Azam berkata, tindakan memiliki kenderaan seperti itu adalah satu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru, katanya. SPRM dan JPJ akan menjalankan operasi besar-besaran bagi mengesan kenderaan-kenderaan yang telah diklon dan pemilik kenderaan yang dikesan selepas ini akan terus ditahan untuk tujuan soal siasat. 

Beliau dalam pada itu memaklumkan, Pejabat SPRM Negeri Sembilan menerima dua kenderaan diklon yang diserahkan oleh pemilik secara sukarela. 

“Pada minggu lalu, SPRM Negeri Sembilan telah menahan tujuh individu dan menyita 14 buah kenderaan mewah pelbagai jenama bernilai lebih RM1.5 juta yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

“SPRM Negeri Sembilan juga telah menahan seorang lagi individu iaitu kelmarin, dipercayai anggota sindiket, untuk membantu siasatan. Lelaki terbabit yang berusia 26 tahun telah dilepaskan selepas diambil keterangan,” katanya.