Suhaimi Miliki Kelebihan Yang Wan Azizah, Anwar Tiada

PERMATANG PAUH - Tidak gentar untuk berdepan dengan lawan yang "gah" seperti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin tenang memberitahu keistimewaannya yang tidak dimiliki oleh calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Suhaimi, beliau merupakan anak jati Permatang Pauh serta sentiasa berada di dalam kawasan Parlimen itu dan kelebihan berkenaan bakal memudahkan beliau memberi fokus menabur khidmat kepada rakyat di situ dengan lebih baik.

“Kelebihan saya berbanding calon PKR ialah saya anak tempatan dan sentiasa berada dalam kawasan.

“Jika dipilih oleh rakyat kelak, saya berjanji akan sentiasa bersama mereka tidak kira waktu suka mahupun sukar,” katanya Suhaimi dalam satu ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Guar Jering, Kubang Semang di sini, semalam.

Suhaimi yang cukup di kenali sebagai seorang anak muda yang cepat mesra dan ringan tulang, menjanjikan pembangunan dan perubahan kepada rakyat di Permatang Pauh dan berikrar akan membela nasib semua lapisan masyarakat di parlimen itu.

Setiausaha Umno Permatang Pauh itu berkata, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak memiliki kelebihan tersebut kerana Presiden PKR itu merupakan Adun Kajang yang perlu memberi perhatian kepada rakyat di sana.

Suhaimi turut mempersoal tentang kemampuan Wan Azizah memberi perhatian sepenuhnya kepada masyarakat di Permatang Pauh jika mempunyai komitmen di tempat lain.

“Saya rasa rakyat masih lagi ingat sebelum ini dia pernah diberi kepercayaan menjadi ahli parlimen namun melepaskan jawatan itu semata-mata untuk suaminya.

“Tindakan itu seperti mempermainkan pengundi di Permatang Pauh dan mungkin menjadi pengajaran kepada masyarakat di sini,” katanya.

Wan Azizah merupakan Adun Kajang, Presiden PKR dan dikatakan sering sibuk menguruskan hal parti, serta dikatakan terbatas khidmatnya ekoran kedudukan sebagai seorang nenek dan wanita yang sudah agak berumur untuk bertugas sebagai wakil rakyat. -Kedahnews.com