Suhaizan Kayat Tidak Budiman, Mandom - Pemuda PAS Pulau Pinang

PERMATANG PAUH - Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang dan semua ahli sayap itu di peringkat akar umbi mengecam Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat yang disifatkan tidak budiman dan "mandom" dalam mempertahan prinsip serta pendirian maruah PAS di mata umum.

Dalam kenyataan bersama Ketua-Ketua Pemuda PAS Negeri berkenaan, mereka sebulat suara menyokong penuh kenyataan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah, yang mengutuk kebiadapan sayap PKR, Angkatan Muda Keadilan (AMK) terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan enggan memohon maaf atas tindakan tersebut.

Kenyataan bersama oleh lapan Ketua Pemuda PAS Kawasan di Pulau Pinang itu sekaligus menyaksikan mereka "derhaka" pada kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, sekaligus tidak menghiraukan arahan terbaru mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini.

"Kami juga ingin zahirkan, suara kekecewaan daripada pemuda peringkat akar umbi khususnya di kawasan-kawasan kami terhadap Ketua Pemuda PAS Malaysia, Saudara Suhaizan Kayat yang dilihat begitu TIDAK BUDIMAN & MANDOM dalam menguruskan perkara ini sedangkan yang dikecam oleh rakan kita adalah Tuan Guru Presiden kita sendiri.

"Adalah ditegaskan kebersamaan Dewan Pemuda PAS Kawasan-Kawasan(DPPK) dengan keputusan dan pendirian Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) berhubung kenyataan media AMK Pulau Pinang yang menghina dan memfitnah Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 26 februari 2015 yang lalu.

"Kami sepenuhnya memberi sokongan padu pendirian tersebut atas dasar kebersamaan kami dalam mengecam kenyataan biadap Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dan keengganan mereka untuk memohon maaf atas kecaman mereka terhadap Tuan Guru Presiden PAS," kata kenyataan tersebut.

Mohd Yusni sebelum ini turut menegaskan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang nekad memboikot seluruh aktiviti kempen Pakatan Rakyat di PRK Permatang Pauh, termasuk "mengharamkan" penggunaan premis di bawah seliaan sayap PAS itu. -Kedahnews.com

Berikut adalah kenyataan penuh dari Ketua-Ketua Pemuda PAS Kawasan di Pulau Pinang:
Kenyataan BERSAMA BUKAN PERIBADI DPPK PULAU PINANG.

KENYATAAN BERSAMA DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN-KAWASAN (DPPK):

SOKONGAN PENUH KEPUTUSAN DAN PENDIRIAN DPPN PULAU PINANG

1. Berhubung perkara di atas, adalah ditegaskan kebersamaan Dewan Pemuda PAS Kawasan-Kawasan(DPPK) dengan keputusan dan pendirian Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) berhubung kenyataan media AMK Pulau Pinang yang menghina dan memfitnah Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 26 februari 2015 yang lalu.

2. Kami sepenuhnya memberi sokongan padu pendirian tersebut atas dasar kebersamaan kami dalam mengecam kenyataan biadap Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dan keengganan mereka untuk memohon maaf atas kecaman mereka terhadap Tuan Guru Presiden PAS.

3. Kami juga ingin zahirkan, suara kekecewaan daripada pemuda peringkat akar umbi khususnya di kawasan-kawasan kami terhadap Ketua Pemuda PAS Malaysia, Saudara Suhaizan Kayat yang dilihat begitu TIDAK BUDIMAN & MANDOM dalam menguruskan perkara ini sedangkan yang dikecam oleh rakan kita adalah Tuan Guru Presiden kita sendiri.

4. Adalah dipertegaskan di sini bahawa, pendirian DPPNPP bukanlah pendirian peribadi Ketua Pemudanya sahaja malah, adalah pendirian yang dibuat bersama semua exco DPPNPP. Maka, pendirian ini juga adalah pendirian bersama semua Exco DPPK kami.

5. Kami anak muda Pulau Pinang, akan sentiasa berdiri teguh menunjangi kepimpinan ulama' yang dikemudikan oleh Tuan Guru Dato' Seri Presiden dalam menegakkan cita-cita untuk mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini.

Terus Beristiqamah.

Kenyataan Bersama;

1. Ir. Wan Ahmad Rafaie Bin Abdul Rashid
KP DPPK Permatang Pauh

2. Ahmad Taufiq Bin Saedon
KP DPPK Bagan

3. Ahmad Fahmi Bin Mohd
KP DPPK Balik Pulau

4. Syed Mohd Nazri Bin Syed Ibrahim
KP DPPK Bukit Mertajam

5. Mohd Najib Bin Hamsi
KP DPPK Batu Kawan

6. Zulazhar Bin Mohamad
KP DPPK Nibong Tebal

7. Rizal Hafiz Bin Roslan
KP DPPK Tasek Gelugor

8. Mohd Hafiz Bin Kasim
KP DPPK Kepala Batas