IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini menzahirkan hasrat
baginda agar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dapat
dijadikan kebanggaan rakyat negeri ini dan menjadi contoh rujukan dari
segi prosiding, kualiti perbahasan serta tata kesopanan anggotanya.
Baginda bertitah berdasarkan profil ahli, DUN Perak dianggotai
barisan profesional dan pemimpin politik yang kaya dengan pelbagai
pengalaman.
“Kelulusan profesional dan khazanah pengalaman itu hendaklah
dijelmakan dalam bentuk perbahasan yang mencerminkan kematangan dan
kebijaksanaan, mengupas perkara-perkara utama dan menganalisis
dasar-dasar penting secara rasional dan sebaik mungkin mengelakkan
perkara-perkara sensasi yang berunsur peribadi,” titah baginda semasa
merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga DUN Perak ke-13 di sini.
Persidangan kali ini turut mencatatkan sejarah kerana merupakan
keberangkatan pertama Sultan Nazrin ke Dewan Undangan Negeri sebagai
Sultan Perak ke-35 sejak dimasyhurkan pada 29 Mei 2014.
Titah baginda DUN adalah entiti tersendiri dan ia cabang bebas dalam
sistem demokrasi yang berpegang kepada doktrin pemisahan kuasa.
Baginda bertitah peranan utama DUN adalah untuk menyemak, menegur, menasihat dan mengaudit cabang eksekutif.
“Ia adalah tanggungjawab setiap ahli Dewan, baik di kalangan penyokong kerajaan mahupun pembangkang.
Penuhilah peranan tersebut secara objektif – secara konstruktif
bertujuan untuk menambah baik sistem penyampaian dan sistem perkhidmatan
kerajaan demi kesejahteraan rakyat jelata,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri di
bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kerana
berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan
kepada negeri Perak. – BERNAMA