SUBANG JAYA – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah
bahawa baginda tidak berkenan dengan penggunaan slogan “Kita Lawan”
untuk kontinjen Selangor yang akan beraksi di temasya Sukan Malaysia
(SUKMA) 2016.
Ini kerana, titah baginda slogan “Kita Lawan” itu telah diguna pakai oleh sebuah parti politik.
“Justeru, beta tidak mahu masyarakat umum tersalah tafsir atau
menganggap bahawa kontinjen Selangor mencampur-adukkan atau cuba
berpolitik di dalam sukan.
“Beta berpendapat lebih baik kontinjen Selangor untuk SUKMA 2016 mencari
slogan lain lebih bersemangat dan dapat berbangga mewakili Selangor,
serta tidak mempunyai kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik
atlet, pasukan dan Selangor yang kita kasihi ini,” titah baginda pada
majlis Anugerah Sukan Selangor 2014, yang turut dihadiri Menteri Besar
Mohamed Azmin Ali, di sini malam tadi.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Muda, Sukan,
Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari mengumumkan
penggunaan slogan itu untuk atlet negeri berkenaan yang akan beraksi
pada SUKMA ke-16 di Sarawak yang dijadualkan Julai tahun depan.
Pemilihan slogan itu mendapat bantahan Anggota Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Barisan Nasional Selangor pada sidang DUN lepas, berikutan “Kita
Lawan” merupakan slogan kempen politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang
bertujuan membebaskan Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara
atas kesalahan liwat.
Dalam titahnya, Sultan Selangor mengingatkan agar semangat kesukanan
tidak dicemari dengan unsur politik atau perkauman dan baginda menyeru
badan-badan sukan, atlet dan penyokong supaya mengetepikan fahaman
politik serta tidak membawanya masuk ke dalam pentadbiran sukan.
“Beta sentiasa mengambil berat dan mengikuti perkembangan sukan di
Selangor. Beta masih ingat pada era 60-an sehingga 80-an, sukan
menjadikan Selangor sebuah negeri yang terkenal serta dihormati dan ini
hasil usaha bersungguh-sungguh pemimpin serta atlet Selangor dan
komitmen mereka yang sangat tinggi untuk mencapai kejayaan bagi negeri
ini yang mereka wakili,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menegur kegagalan kontinjen Selangor yang
hanya menduduki tempat keempat pada SUKMA lepas serta kegagalan pasukan
bola sepak Selangor menjuarai Piala Malaysia sejak beberapa musim lepas.
Baginda bertitah kerajaan Selangor telah banyak menyediakan kemudahan
sukan di setiap daerah, justeru atlet serta pasukan yang mewakili
Selangor sepatutnya menjadi juara pada setiap kejohanan.
“Mengapa perkara tersebut tidak berlaku (kejayaan), oleh itu pengurus
pasukan, pegawai serta atlet perlu membuat ‘post-mortem’ bagi mencari
punca kejatuhan ini.
“Apa yang membimbangkan beta ialah akhir-akhir ini, beta dapati
pentadbiran dan pengurusan beberapa kelab serta persatuan sukan di
Selangor menghadapi masalah dalaman yang mengakibatkan kegagalan dan
kemunduran sukan di negeri ini,” titah baginda.
Sultan Selangor turut menegur pengurusan kewangan di sesetengah
persatuan sukan yang banyak menimbulkan masalah serius disebabkan kurang
mempunyai perancangan jangka panjang serta tidak mempunyai peruntukan
kewangan yang seimbang.
Titah baginda, jika keadaan itu berterusan, ia akan melemahkan
semangat atlet dan pemain yang akhirnya akan menjejaskan prestasi
mereka.
“Oleh itu, beta berharap pengurus dan pegawai sukan hendaklah memberi
sepenuh komitmen dan bekerja bersungguh-sungguh sebagai sebuah pasukan
bagi memastikan kegemilangan sukan di negeri ini dikekalkan.
“Beta suka mengingatkan kepada pegawai persatuan supaya tidak
bertelagah sesama sendiri atau menyimpan perasaan hasad dengki serta
cuba menjatuhkan antara satu sama lain,” titah baginda.
Pada majlis itu, penerjun akuatik Chew Yi Wei dan atlet karate
Syakilla Salni Jefry Krosnan, masing-masing dipilih sebagai Olahragawan
dan Olahragawati Selangor 2014. – BERNAMA