PERMATANG PAUH – Aspek kesihatan penduduk Permatang Pauh diabaikan
kerajaan negeri pakatan pembangkang Pulau Pinang yang sibuk berkempen
untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen kawasan
ini.
Tinjauan Bernama mendapati sungai berhampiran flat blok L1, Jalan
Tenggiri di sini dibiar penuh dengan sampah sarap dan longgokan sampah
itu mengundang bau busuk di kawasan persekitaran.
Seorang penghuni flat, Rashidah Ismail, 61, berkata keadaan laluan
air sungai yang tersekat mengakibatkan rumahnya dimasuki air setiap kali
hujan lebat dan yang terbaru, awal bulan lepas.
Katanya, sisa sampah yang terperangkap dalam sungai itu menyebabkan
air tidak dapat mengalir dan akan melimpah setiap kali hujan.
“Bukan sahaja banjir, saya risau longgokan sampah sarap di sungai itu
boleh mendorong kepada pembiakan nyamuk Aedes dan membawa kepada
penyakit denggi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah yang
terletak hanya 100 meter dari sungai berkenaan.
Rashidah yang telah 30 tahun tinggal di kawasan itu berkata sampah di sungai itu dibiarkan sejak beberapa bulan lepas.
Seorang lagi penduduk flat itu, K. Muniandy, 45, berkata motosikalnya
rosak awal bulan ini kerana dimasuki air banjir yang tergenang sehingga
ke paras lutut.
“Saya berharap Majlis Perbandaran dapat membina tembok batu untuk
menghalang air sungai daripada melimpah setiap kali hujan,” katanya yang
bekerja sebagai buruh.
Sementara itu, keadaan longkang yang dipenuhi sampah turut berlaku di
Jalan Permatang Pauh dan air bertakung di dalam longkang di hadapan
Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lay Keow.
Ong Chye Seng, 75, bekas anggota Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung Mukim 2 dan 4 Permatang Pauh, berkata keadaan
longkang yang penuh dengan sisa makanan dan sampah ini telah lama
berlaku.
“Pelbagai aduan dibuat penduduk, namun tiada sebarang tindakan
dilakukan pihak berkuasa tempatan dan banjir kini merupakan perkara
biasa yang berlaku di sini setiap kali hujan,” katanya.
Bulan lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani,
Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin yang juga
anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya mengumumkan kes demam denggi
di Pulau Pinang mencatat peningkatan 894 kes atau 170.29 peratus kepada
1,419 kes bagi tempoh Januari hingga 28 Mac lepas, berbanding 525 kes
tempoh sama tahun lalu. – BERNAMA