Suspek Lontar Bom Molotov Cocktail Di Simpang Kuala Mengaku Tidak Bersalah

Tertuduh Chan Huat Chai,38, yang mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan membaling bom petrol ke arah sebuah bank, dikawal ketat oleh anggota Polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kebakaran di sebuah bank di Simpang Kuala di sini, minggu lepas.

Chan Huat Chai, 38, daripada Taman Bersatu, Batas Paip, Kuala Kedah dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Maybank Cawangan Simpang Kuala pada 8 April lepas mengikut Seksyen 435/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Khairul Hafizuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,500 dan menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Persekutuan Nuur Hafiedzah Md Daud manakala Chan diwakili peguam daripada Yayasan Biro Bantuan Guaman.

Mengikut kertas pertuduhan, Chan melontar “molotov cocktail’ atau bom petrol ke bahagian hadapan bank terbabit selepas gagal melaksanakan urusan perbankannya di bank berkenaan.

Dia ditahan polis lewat malam hari kejadian. – BERNAMA