KUALA LUMPUR – Bangunan Parlimen merupakan antara bangunan yang
menjadi sasaran 12 suspek kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam
rancangan serangan bom yang digagalkan oleh pihak polis baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,
suspek menyasarkan beberapa kawasan termasuk tempat-tempat yang dianggap
sebagai ‘kawasan maksiat’.
Kumpulan suspek itu menyasarkan Putrajaya, Dewan Rakyat dan Dewan
Negara kerana tidak mempercayai sistem demokrasi, kata Ahmad Zahid
kepada Dewan Negara.
“Sebaliknya, suspek lebih mempercayai sistem khalifah Islam,” katanya.
Polis menggagalkan serangan keganasan dengan menahan suspek militan
yang disyaki sedang membuat campuran bahan kimia sebagai bahan letupan.
Menurut polis, bahan letupan tersebut mampu meletupkan satu kawasan dengan lingkungan sehingga 500 meter.
Suspek didakwa merancang untuk mengadakan serangan ke lebih lima sasaran termasuk kelab malam dan pusat hiburan.
Ahmad Zahid mendakwa kebanyakan suspek terlibat dalam kegiatan
militan, mendapat pendidikan di sekolah agama, madrasah atau sekolah
pondok.
Tambahnya, mereka yang terlibat tidak mengira latar belakang,
termasuk pensyarah dan pelajar dari institusi pengajian tinggi swasta.
Beliau berkata, menurut kajian yang dijalankan, lebih 50 peratus
pengikut IS berumur 40 tahun ke bawah, yang juga merupakan sasaran utama
dalam merekrut anggota kumpulan keganasan.
Selain itu, beliau turut memberitahu terdapat tiga faktor utama yang
dapat menarik minat untuk menyertai IS iaitu isu keluarga, masalah
kewangan dan tekanan hidup.
Menurut Ahmad Zahid, kebanyakan daripada 107 suspek yang ditahan
berhubung kegiatan militan di negara ini berpunca daripada masalah
keluarga. - The Star